Peja pulang ‘gaji RM27,000’, serah ke tabung Covid-19

0
340

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berjanji akan memulangkan semula gaji berjumlah RM27,227, termasuk bayaran pro rata 11 hari yang diterimanya ketika bertugas sebagai penasihat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Bersatu itu bagaimanapun berasa sedikit terkilan kerana tidak diberi ruang menjelaskan hasratnya itu, sebaliknya perkara tersebut telah dibangkitkan di Parlimen.

Katanya, beliau tidak berkecil hati dan marah dengan pihak yang mempersoalkan pendapatannya itu, malah beliau bersetuju perkara itu dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini demi memastikan ketelusan urus tadbir kerajaan.

“Saya bersetuju dengan mereka, kerana saya belum berikan perkhidmatan yang banyak lagi, tetapi menerima pula gaji RM27,000 campur lagi pro rata, mungkin lebih lagi.

“Saya berhasrat memulangkan keseluruhan penerimaan itu kepada tabung Covid-19. Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Selasa lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pembayaran gaji penuh itu adalah gantian notis penamatan perkhidmatan berikutan tempoh perkhidmatan Faizal yang singkat dan tidak cukup sebulan.

Katanya, jawatan itu tidak melibatkan pembayaran pencen.

Ismail Sabri berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen selepas Lim Lip Eng (PH-Kepong), meminta beliau menyatakan jumlah gaji diterima oleh Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri untuk tempoh yang singkat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here