[VIDEO] MoU kerajaan-pembangkang, neutralkan kluster mahkamah

0
306

MEMORANDUM persefahaman (MoU) yang ditandatangani julung kalinya antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021 akan meneutralkan “kluster mahkamah” di dalam UMNO.

Ia sekali gus akan dapat menghalang sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Mengulas mengenai MoU itu, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Ahmad Marthada Mohamed yakin pembangkang akan memberikan komitmen untuk menjayakannya.

Secara tidak langsung, ia akan membentuk satu sokongan yang kukuh kepada kerajaan hari ini, meskipun tanpa sokongan kluster mahkamah.

Ini kerana, sebelum ini, kluster mahkamah adalah pihak yang menggagalkan usaha kerajaan melakukan transformasi. Pada masa sama, blok pembangkang juga tidak menyokong kerajaan kerana tiada insentif untuk berbuat demikian.

Ahmad Marthada berkata, dengan adanya MoU ini, usaha daripada kluster mahkamah untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan tidak akan berkesan.

Pada hari bersejarah 13 September lalu, Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani satu MoU yang disifatkan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai “demokrasi bermusyawarah”.

Memorandum itu ditandatangani oleh Ismail dan pemimpin utama PH, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau.

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Merekalah ertanggungjawab menjatuhkan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu dengan menarik sokongan kepada ahli Parlimen Pagoh itu, sekali gus menyebabkannya kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Walaupun Muhyiddin menawarkan beberapa penawaran terhadap institusi negara yang kini diguna semula dalam MoU pada Isnin, PH menolaknya kerana dikatakan tidak akan berjaya dan dikatakan sebagai satu tawaran rasuah secara terbuka.

Tetapi, kali ini, mereka menerima tawaran yang sama, cuma dikemukakan Perdana Menteri yang berbeza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here