Tahniah JDT juara Liga Super kali kelapan berturut-turut – Muhyiddin

0
280

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang secara rasminya bergelar juara Liga Super musim ini selepas tamat perlawanan menentang KL City FC malam tadi.

Muhyiddin turut berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan Harimau Selatan yang memenangi kejuaraan tersebut buat lapan musim berturut-turut.

“Tahniah JDT yang sekali lagi dinobatkan sebagai Juara Liga Super malam ini, kejayaan kali kelapan berturut-turut buat Harimau Selatan.

“Sebagai anak Johor, saya pastinya turut sama berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan ini.

“Kejayaan yang dilakar JDT membuktikan dengan perancangan, iltizam dan komitmen tinggi, sesebuah pasukan boleh berjaya dan terus melakar rekod baharu dalam arena bola sepak negara,” tulisnya di Facebook malam tadi.

JDT muncul juara Liga Super secara rasmi malam tadi selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Sebelum upacara penyerahan piala Liga Super musim ini, turut diadakan Majlis penyerahan replika cek sumbangan daripada JDT kepada wakil petugas barisan hadapan berjumlah RM1 juta.

Sumbangan itu menepati hasrat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedikasikan kejuaraan Liga Super kali kelapan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bekerja sepenuh hati ketika pandemik Covid-19.

Tunku Mahkota Johor menyuarakan hasrat tersebut agar JDT mendermakan duit kejuaraan liga kepada tabung untuk keluarga-keluarga petugas barisan hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here