Kerabat diraja Kedah kurnia kontena simpanan jenazah

0
298

Oleh RIZQI ZABIDI

SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama-sama seluruh keluarga diraja berkenan mengurniakan sebuah kontena penyimpanan jenazah untuk kegunaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Paduka Bakar Din menerusi satu kenyataan memaklumkan, kontena tersebut yang telah diubah suai mampu menempatkan 16 jenazah pada satu-satu masa.

Katanya, pengurniaan kontena itu diharap membantu HSM untuk mengendalikan kes kematian akibat Covid-19 dengan lebih berkesan sekali gus mengatasi masalah kesesakan di unit forensik hospital berkenaan.

“Baginda turut bertitah agar lebih banyak syarikat swasta, badan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) turut sama berganding bahu memberi sumbangan dan bantuan diperlukan hospital negeri ini, yang masih berdepan situasi kritikal merawat Covid-19.

“Katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital d negeri ini juga penuh dengan pesakit Covid-19.

Oleh itu baginda berharap agar semua petugas kesihatan dapat bersabar dengan situasi sekarang selain berdoa agar kes-kes kritikal di Kedah, akan berkurang dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu Pengarah HSM, Dr. Akmal Naziah Ahmad merafak sembah setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan ditunjukkan baginda dan keluarga diraja terhadap masalah dihadapi.

“Kurniaan ini amat berharga buat kami dalam memberik perkhidmatan terbaik buat seluruh warga Langkawi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here