[VIDEO] ‘Selamat jalan anak mama, main elok-elok dekat sana’ – Luahan hati ibu kehilangan anak OKU

0
331

HANYA tinggal kerinduan dan kenangan dalam diri, Nur Shamimi Abdul Malek yang kehilangan anak syurganya secara tragis semalam, meluahkan perasaannya dengan berkongsi kesedihan di laman Facebook.

Ibu muda berusia 27 tahun yang masih dalam keadaan terkejut itu, hanya mampu berkongsi gambar-gambar dan video kenangan bersama anaknya, Muhammad Fayyadh Ukasyah, 10 tahun.

Menerusi satu perkongsian oleh Nur Shamimi, menceritakan bahawa dia baru sahaja membuat kerja sekolah bersama-sama anaknya.

“Baru sahaja mama buat kerja sekolah dengan Fayyadh semalam, Allah kuat mana la aku, dia seorang anak yang periang. 

Siapa lagi Fayyadh nak bagi mama gelak, Allah kuatkan aku,” demikian luahannya.

Ibu kepada lima anak itu juga berkata, anak syurganya itu disifatkan paling manja dan diberi perhatian sepanjang masa sama ada di rumah atau di mana-mana sahaja.

“Selalunya kalau nak tidur dia akan duduk dekat dan pegang kaki saya dahulu baru dia boleh tidur kalau tidak selagi itu dia susah tidur.

“Apabila bangun tidur juga dia akan mencari saya dahulu dan kemudian baru dia buat benda lain,” katanya kepada pemberita di kediamannya, Taman Kinta Baru, Gopeng, Perak, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang mandi dan kedua-dua pintu rumah dan pagar sudah dipasti berkunci.

Sementara itu di perkongsian yang berbeza, Nur Shamimi turut berkongsi gambar pengebumian jenazah anak istimewanya itu.

“Lawanya muka Fayyadh semalam, selamat jalan anak mama, sampai sana je mama hantar Fayyadh, main elok-elok dekat sana,” ujarnya.

Terdahulu, mayat kanak-kanak itu ditemukan terapung di tepi lombong yang terletak kira-kira 80 meter dari rumahnya jam 9.45 pagi, semalam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here