[VIDEO] Suspek curi ekzos akhirnya dicekup polis

0
515

SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Helah dua lelaki berlagak mekanik nyata tidak menjadi apabila perbuatan mereka dirakam orang awam sebelum ditangkap polis kerana mencuri ekzos kenderaan di kawasan parkir terbuka di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, petang semalam.

Video yang berdurasi 41 saat itu menunjukkan dua suspek itu kelam-kabut lari daripada orang awam yang merakam operasi memotong tabung ekzos sebuah kereta jenis Toyota Innova di parkir terbuka tidak jauh dari sebuah hotel di Jalan Memanda, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua suspek itu dirakam dan ditegur orang awam sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iriz yang dipercayai disewa ke arah Bandar Baru Ampang.

“Susulan daripada maklumat awam, polis mengesan dua suspek berusia 24 dan 25 tahun itu sebelum menahan mereka di sekitar Sungai Besi, jam 11 malam tadi,” katanya menurut laporan BH.

Mohamad Farouk berkata, dalam serbuan yang sama, polis merampas dua tabung ekzos (Catalytic Converters), dua unit jack pengangkat kereta, unit pemotong besi, peralatan membuka ekzos, gergaji besi dan kereta Proton Iriz yang digunakan dalam kejadian.

“Siasatan awal ke atas suspek mendapati mereka sudah beberapa kali melakukan jenayah curi tabung ekzos di tempat letak kereta terbuka di kawasan dalam daerah Ampang Jaya dan Kajang,” ujarnya.

Kegiatan itu dilakukan mereka untuk mendapatkan besi platinum yang bernilai tinggi yang menjadi komponen tabung ekzos.

Kedua-dua suspek direman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri komponen sebuah kenderaan motor dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga didenda.

Polis Daerah Ampang Jaya turut meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here