Pembatalan Piala Presiden, Piala Belia bukan dibuat secara suka-suka

0
242

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PIALA Presiden dan Piala Belia yang dibatalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menimbulkan kemarahan banyak pihak bukan dilakukan secara suka-suka.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana agak sukar mengawal pemain jumlah yang begitu besar untuk mengadakan gelembung sukan.

“Keduanya, kebanyakan daripada mereka belum divaksin, jadi kita bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan mereka. Maka FAM buat keputusan yang bertanggungjawab dan penilaian sama akan dibuat untuk Sukma,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.

Berkenaan isu membenarkan gimnasium di seluruh negara beroperasi semula tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, beliau memberitahu, perkara itu akan dibawakan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Ahmad Faizal dan Ras Adiba melakukan lawatan dan beramah mesra dengan penerima vaksin

Kabinet diharap katanya, mempertimbangkan cadangan itu sebagaimana kelonggaran yang diberikan terhadap industri kreatif terutama kebenaran menonton di panggung wayang.

Katanya, ketika ini pengusaha-pengusaha pusat gimnasium di seluruh negara terjejas pendapatan selepas tidak beroperasi sejak sekian lama.

“Kita tidak boleh buka gimnasium sewenang-wenangya tetapi SOP yang ketat perlu diadakan. Saya percaya (kita) boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi kita tidak benarkan pembukaan gimnasium.

“Ramai yang kata ini (buka gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya orang yang duduk panggung wayang dengan orang yang pergi gimnasium, orang pergi gimnasium (lebih) menitikberatkan kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, cadangan tersebut diharap dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.

Ahmad Faizal berkata, mereka yang pergi ke gimnasium lebih menitikberatkan kesihatan kerana sudah tentu akan mematuhi semua amalan penjagaan diri dan SOP ditetapkan.

Katanya lagi, cadangan tersebut juga akan dibawa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan nanti.

“Bukan sahaja pemilik gimnasium yang terkesan tetapi jurulatih turut menerima terjejas apabila gimanasium tidak dibuka. Bagi mereka yang terlibat dalam sukan ini, mereka perlu teruskan kerana kalau tak badan akan terkesan jika tidak terus berlatih.

“Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing ada membuat kunjungan hormat di pejabat saya semalam (Selasa). Mereka juga ada pandangan yang sama kerana golongan dalam sukan ini, kalau tinggalkan latihan dalam masa yang panjang, apa yang mereka buat selama ini boleh jadi hilang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here