Krisis PKR Negeri Sembilan: Aminuddin pecat ketua penerangan

0
280

KRISIS PKR Negeri Sembilan sampai ke kemuncak hari ini apabila Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memecat Ketua Penerangan PKR negeri, Yusof Tapar.

Tindakan itu diambil susulan Yusof, yang dikatakan orang kuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan kenyataan media Ahad lalu yang menyatakan MPN telah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Surat pemecatan itu yang ditandatangani sendiri oleh Aminuddin menyatakan Yusof tidak lagi wajar dikekalkan jawatannya susulan perkembangan mutakhir dan kenyataan terbuka yang dibuatnya.

Memetik laporan media, Yusof mengesahkan menerima surat pemecatan berkenaan kira-kira jam 4 petang tadi menerusi serahan tangan oleh kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Dia menyifatkan perkara itu sebagai sudah dijangka dan tidak ada masalah mengenainya.

“Saya sudah menjangkakan perkara ini dan tindakan yang akan dikenakan terhadap saya.

“Saya tidak sedih pun, malah sudah bersedia dari awal. Selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan telah memalukan parti.

“Namun begitu, walaupun dipecat, saya akan tetap setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti,” katanya, hari ini.

Yusof berkata, dia tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

Ahad lalu, Yusof bersama beberapa pemimpin PKR negeri mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kepimpinan PKR Negeri Sembilan menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin.

Mereka mendakwa Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan parti bagi memastikan terus kekal mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Yusuf yang dilantik ke jawatan berkenaan sejak tiga tahun lalu berkata, pemecatan itu sepatutnya dibawa dalam mesyuarat MPN seperti mana ketika pelantikannya sebelum ini.

“Apa pun saya akur dan tiada masalah dengan pemecatan jawatan itu, namun akan tetap memberikan sokongan padu kepada Anwar,” katanya yang berada dalam parti sejak 1998.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here