Usah terpedaya terima mesej ujian saringan positif Covid-19 – Polis

0
323

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu meminta orang ramai di negeri ini agar tidak mudah terpedaya sekiranya ada menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp mengenai keputusan ujian saringan Covid-19 daripada orang tidak dikenali.

Ini kerana, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud,
sindiket penipuan kini dikesan menggunakan pelbagai taktik dan helah tertentu bagi memerangkap mangsa, lapor Sinar Harian.

Malah katanya, difahamkan antara taktik penipuan sindiket itu ialah dengan menghantar mesej ujian saringan Covid-19 menerusi aplikasi WhatsApp kepada orang ramai beserta pautan yang ‘wajib’ ditekan penerima.

Antara contoh mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada mangsa berhubung keputusan ujian saringan Covid-19

Menurut beliau, isi kandungan mesej tersebut antara lain memaklumkan kepada penerima kononnya keputusan hasil saringan Covid-19 yang dilakukan adalah positif dan perlu menekan pautan yang disertakan sebagai maklum balas.

Kemudian katanya, setelah mangsa melakukan seperti diarahkan, telefon pintar milik mereka difahamkan akan digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah menekan pautan diterima terutama daripada nombor meragukan bagi mengelak telefon peribadi mereka digodam.

“Oleh itu, saya ingin menasihati kepada masyarat, khususnya mereka yang tidak pernah melakukan swab test Covid-19 sama ada di klinik swasta atau pun di klinik kesihatan kerajaan agar tidak mudah panik dan tidak melayan apa jua arahan diberikan sekiranya menerima mesej seperti itu,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

M. Zambri berkata, walaupun setakat ini masih belum ada kes sedemikian dilaporkan berlaku di Terengganu, namun orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan tidak menekan mana-mana pautan diterima daripada nombor telefon meragukan bertujuan untuk berkongsi maklumat peribadi.

Sebaliknya, beliau meminta supaya orang ramai segera mengabaikan mesej-mesej atau panggilan yang diterima daripada individu tidak dikenali kerana ketika ini sindiket penipuan telah menggunakan pelbagai taktik untuk menjerat mangsa setiap hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here