[VIDEO] Ganjaran buat Ziyad tidak wajar, gagal tetap gagal: Zolkples Embong

0
623

BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pemberian ganjaran setimpal kepada atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, tidak wajar.

Muhammad Ziyad sebelum ini memenangi pingat emas dalam acara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tetapi ditarik balik selepas protes dilakukan oleh atlet Ukraine membabitkan isu teknikal, dengan mendakwa Muhammad Ziyad lewat tiba di call room.

Menurut Zolkples Embong, atlet lontar peluru para itu tiada keputusan dan ganjaran tidak boleh diberi kepada kegagalan dan tiada peruntukan yang membolehkan untuk dibayar.

“Dia telah melanggar peraturan, penyertaan dia tidak diambil kira dalam konteks ini Did Not Start (DNS), walaupun dia bertanding, kemenangannya dibatalkan.

“Jadi bagaimana kita nak beri ganjaran kepadanya, gagal maknanya gagal, bagi saya tidak boleh untuk beri ganjaran kepada orang gagal,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.

Tambah beliau, jika hendak memberi ganjaran di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), itu tidak boleh kerana tiada peruntukan dibawah skim berkenaan yang membolehkan perkara tersebut dan ia merupakan duit rakyat.

“Ramai sangat orang yang buat cadangan, bersimpati dan sebagainya, itu masing-masing punya hak. 

“Bagi saya, tidak wajar jika mahu beri ganjaran di bawah SHAKAM kerana ia duit rakyat dan tidak boleh digunakan sewenangnya.

“Orang bercakap tentang sentimental, saya lagi sentimental, Muhammad Ziyad saya yang bawa semasa saya di MSN, tapi saya tidak boleh hilang prinsip hanya sebab nilai sentimental,” tegas Zolkples.

Bekas Ketua Pengarah MSN tersebut turut tegas menyatakan beliau tidak takut akan kecaman yang akan diberi daripada netizen.

“Apa nak takut, saya bukan buat salah, buat jenayah, saya pertahankan fakta, ini melibatkan duit rakyat.

“Semua polisi ini dibuat semasa saya di MSN, jadi ada peraturan dan saya kena pertahankan, saya tak boleh longgarkan peraturan yang saya sendiri buat.

“Netizen boleh cakap apa yang mereka mahu, tetapi majoriti daripada mereka menyokong kenyataan saya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai ganjaran setimpal kepada Ziyad bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan pada temasya sukan dibuat.

Sebelum ini, bekas menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menyokong usaha itu dengan berkata, lontaran Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia yang dipegangnya sendiri ketika di Rio dan pencapaian itu wajar dirai. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here