[VIDEO] Masih kerajaan PN, hanya diketuai BN: Shahidan Kassim

0
389

VETERAN UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim membayangkan beliau kini menjadi Menteri Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sambil mengingatkan bahawa jenama kerajaan hari ini tidak perlu dijadikan polemik, bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan itu menjelaskan pentadbiran baharu yang ditubuhkan adalah Kerajaan PN, tetapi diketuai oleh Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang mengetuai Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional di bawah pertadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, perbezaan lain ialah kerajaan sekarang bukan diterajui Bersatu.

“Pasal apa pula bukan kerajaan PN? Ini ialah BN-led government yang sekarang berada dalam PN. Bagi saya tidak ada polemik, ia diwujudkan sesetengah pihak untuk jadikan perbincangan. Pada saya tak perlu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ahli Parlimen Arau itu menambah, kerajaan sekarang masih PN diperkuatkan lagi dengan rancangan melantik seorang pengerusi baharu untuk mengetuai PNBBC, bukan BNBBC.

“Kita akan lantik pengerusi baru PNBBC, buat masa sekarang ia belum diubah apa-apa dan perkara ini tak perlu jadi polemik, kalau sekarang orang kata ini bukan kerajaan PN, siapa pun yang dilantik kita akan beritahu,” ujarnya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegur kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menggesa Jemaah Menteri baharu berhenti daripada memberi alasan menjengkelkan dalam menjalankan tugas.

Bukan itu sahaja, malah Ahmad Zahid juga dilihat seolah mengancam bekas menteri Kerajaan PN yang dilantik semula oleh Ismail Sabri membarisi Kabinetnya.

Kerajaan PN tumbang selepas Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu, susulan tindakan Presiden UMNO itu membawa 14 Ahli Parlimen (MP) UMNO bersamanya menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here