Duta Ukraine ucap tahniah, zahir rasa kagum dengan Ziyad

0
285

DUTA besar Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo mengucapkan tahniah kepada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan percaya dia tetap juara di hati setiap orang.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau menzahirkan rasa kagum di atas prestasi luar biasa yang ditunjukkan atlet berusia 31 tahun itu sehingga berjaya memecahkan rekod dunia bagi kategor F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Ziyad akan kekal sebagai juara sejati di hati setiap orang, bahkan bukan hanya pada rakyat Malaysia,” katanya.

Kejayaan Ziyad meraih emas dan memecahkan rekod dunia, kelmarin ditarik balik susulan protes yang dilakukan kem Ukraine.

Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Ketiga tiga atlet terbabit mendapat status ‘DNS’ (tidak bermula) sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekalipun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94m.

Keputusan rasmi menyaksikan emas menjadi milik atlet Ukraine, Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi yang mencatat balingan 17.30.

Gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis yang melakukan catatan 15.93m.

Mengulas mengenai insiden yang timbul itu, Nechytaylo berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera dan telus.

Dalam pada itu, serangan netizen susulan insiden yang berlaku itu menyebabkan pejabat kedutaan Ukraine di sini menutup sementara laman Facebook rasminya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here