Buta sejarah atau ingin cetus sentimen anti-Persekutuan

Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri mereka mengatasi semangat kedaerahan jumud seperti yang ditunjukkan oleh golongan yang tidak mengiktiraf 31 Ogos sebagai tarikh sambutan Hari Kemerdekaan di seluruh negara.

0
769

SELEPAS 64 tahun negara kita merdeka, masih ada lagi yang buta sejarah dan cuba memutarbelitkan fakta berhubung sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Mereka berpandangan, tiada keperluan untuk orang Borneo menyambut Hari Kemerdekaan pada tarikh tersebut.

Kata mereka, yang merdeka pada 31 Ogos 1957 adalah Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia.

Dakwa mereka lagi, tarikh kemerdekaan yang sebenar bagi Sabah dan Sarawak adalah pada 16 September 1963 apabila kedua-dua negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

Amat dangkal sekali hujah mereka yang ternyata membelakangkan semangat kebersamaan seluruh rakyat Malaysia.

Tidakkah mereka sedar bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 yang merintis jalan kepada berakhirnya penjajahan Inggeris di Borneo dan Singapura?

Situasi di rantau Asia Tenggara pada 1963 adalah penuh dengan pergolakan dalaman ekoran ancaman yang ditimbulkan oleh pengganas komunis.

Borneo pasca Perang Dunia Kedua menjadi idaman dua negara jiran yang berhasrat meluaskan pengaruh mereka agar mencakupi wilayah yang kaya dengan pelbagai hasil bumi itu.

Filipina menggunakan waris Kesultanan Sulu bagi menuntut Sabah manakala Presiden Sukarno ketika itu ingin merealisasikan gagasan Indonesia Raya yang turut merangkumi Tanah Melayu dan Borneo.

Penjajah British tidak mahu meninggalkan Borneo dalam keadaan kacau-bilau kerana mereka masih mempunyai kepentingan di wilayah itu khususnya dari segi pengeluaran hasil minyak.

Maka, timbullah idea penubuhan Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Singapura di bawah sebuah kerajaan Persekutuan.

Pembentukan Malaysia bukan sahaja terbukti ampuh dalam menangani impian perluasan wilayah Filipina dan Indonesia, malah berjaya menumpaskan pengganas komunis.

Perwira-perwira negara sama ada dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bersama-sama mempertaruhkan nyawa mempertahankan negara daripada ancaman komunisme.

Mereka juga berjaya menumpaskan kumpulan pengganas Kiram yang ingin mencabul kedaulatan Sabah.

Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri mereka mengatasi semangat kedaerahan jumud seperti yang ditunjukkan oleh golongan yang tidak mengiktiraf 31 Ogos sebagai tarikh sambutan Hari Kemerdekaan di seluruh negara.

Sepatutnya mereka sedar bahawa tarikh itu merupakan simbolik perjuangan anak-anak bangsa membebaskan negara daripada belenggu penjajahan selama 446 tahun.

Tidak wajarlah jika signifikan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan dilihat dari ruang lingkup tempurung mereka yang sempit dan kecil sahaja.

Negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS) juga tidak semuanya mencapai kemerdekaan secara serentak pada 4 Julai 1776.

Hanya 13 daripada 50 negeri yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada penjajahan British pada tarikh tersebut.

Negeri-negeri tersebut adalah Delaware, Pennsylvania, New Jersey, Georgia, Connecticut, Massachusetts, Maryland, South Carolina, New Hampshire, Virginia, New York, North Carolina dan Rhode Island.

Bagi negeri-negeri lain, sebagai contoh, Texas menyertai AS pada 29 Disember 1845, Wisconsin pada 29 Mei 1848, Alaska pada 3 Januari 1959 dan Hawaii merupakan negeri yang ke-50 apabila menyertai kesatuan itu pada 21 Ogos 1959.

Tidak pula timbul isu di Texas, Wisconsin, Alaska dan Hawaii bahawa mereka tidak perlu menyambut Hari Kemerdekaan AS pada 4 Julai.

Persoalan remeh-temeh yang tidak sehaluan dengan semangat Keluarga Malaysia itu hanya timbul di sini sahaja.

Apakah mereka benar-benar buta sejarah atau mungkin ingin mencetuskan sentimen anti-Persekutuan?

Oleh HASSAN SULAIMAN
Kuala Lumpur

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here