Langgar teman wanita semasa larikan diri daripada polis

0
298

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu seorang suspek curi kereta selepas lelaki tersebut cuba meloloskan diri di sekitar Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, dalam kejadian pukul 5 petang itu, anggotanya menghampiri kereta tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Menuerut Saiful, ketika itu teman wanita lelaki tersebut berada di belakang kenderaan berkenaan mengambil barang di bahagian but.

“Suspek lelaki yang menyedari kehadiran polis terus mengundurkan kenderaan, melanggar serta menggilis teman wanitanya. Teman wanita suspek yang berada di bahagian belakang kereta tersebut cedera akibat digilis.

“Pegawai polis yang berada di hadapan kereta memberi amaran kepada suspek supaya berhenti tetapi lelaki berkenaan terus memecut untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saiful berkata, bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 32 tahun itu berjaya ditahan sekitar jam 7.50 malam di Cyberjaya semalam.

“Hasil soal siasat, suspek telah membawa pihak polis ke beberapa lokasi dan telah berjaya menjumpai sebanyak 11 buah kereta buatan tempatan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara tahun 2019 hingga 2021.

“Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM130,000 manakala hasil siasatan awal mendapati suspek mencuri kereta bertujuan untuk menjual alat ganti kereta tersebut di media sosial,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah mencuri kereta untuk menjual alat ganti tersebut dalam media sosial.

“Semakan mendapati suspek mempunyai sebanyak 17 rekod jenayah manakala teman wanitanya pula mempunyai tiga rekod jenayah. Kedua-dua tangkapan mempunyai rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here