Tukang masak hilang RM60,000 akibat perangkap cinta kenalan lelaki warga asing

0
183

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SEORANG wanita mengalami kerugian sebanyak RM60,000 akibat terpedaya dengan perangkap cinta kenalan lelaki yang dikatakan menabur janji manis untuk mengahwininya.

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 45 tahun yang bekerja sebagai tukang masak diminta memasukkan wang ke dalam satu akaun, selepas diminta teman lelakinya yang dikatakan menetap di luar negara.

Kejadian bermula pada Jun lalu di mana mangsa telah berkenalan dengan lelaki yang dikenali dengan nama Aziz Mohamad melalui media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof memberitahu, sepanjang perkenalan, lelaki tersebut melayan mangsa dengan baik sehingga berjanji untuk berkahwin dengannya.

Selepas itu kata Mohd. Wazir, suspek mula mengatur strategi untuk menipu mangsa dengan meminjam wang daripada wanita itu.

Menurut beliau, suspek menyatakan mahu meminjam wang memaklumkan mahu meminjam wang kerana kad bank miliknya mengalami masalah dan berjanji akan membayarnya semula.

“Sepanjang tempoh Jun hingga kini, mangsa telah membuat sebanyak 30 transaksi ke empat akaun berbeza berjumlah kira-kira RM60,000, namun sehingga kini mangsa belum menerima wangnya semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu ujar Mohd. Wazir, mangsa juga sering diperdaya dengan resit palsu daripada suspek.

Katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu setelah mendapati semua wang simpanannya sudah habis.

“Berikutan itu, semalam mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelas beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here