60 cedera letupan di depot senjata Kementerian Pertahanan Kazakhstan

0
238

Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH depot senjata meletup di daerah Bayzakov, Kazakhstan semalam dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera sehingga menyebabkan pihak berkuasa memindahkan penduduk ke empat kampung berhampiran.

Kerajaan tempatan menerusi satu kenyataan memberitahu, letupan itu berlaku di depot senjata Kementerian Pertahanan di wilayah selatan negara itu, Jambyl.

Kerajaan Jambyl menyatakan 60 orang termasuk 11 anggota tentera dimasukkan ke sebuah hospital di bandar Taraz kerana mengalami kecederaan.

“Penduduk di empat buah kampung termasuk sebuah kampung yang terletak kurang 1 kilometer dari lokasi letupan turut terlibat dalam proses pemindahan itu,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini letupan tersebut tidak melibatkan sebarang kematian.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pula, kebakaran yang berlaku di salah satu depot di Jambyl telah menyebabkan berlakunya satu letupan.

Kementerian itu juga menyatakan jabatan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut dan sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi menentukan punca kejadian.

Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev berkata menerusi Twitter, bahawa askar-askar dan pekerja-pekerja perkhidmatan kecemasan cedera dalam kejadian tersebut. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here