Nur Syaiful pecah rekod peribadi

0
317

WALAUPUN tidak berjaya mencapai kedudukan podium, namun perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berjaya menampilkan prestasi terbaiknya apabila memecah rekod peribadi 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo, sebentar tadi.

Memulakan aksi di lorong pertama, Nur Syaiful menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada lapan pelumba, dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun.

Perenang Sarawak itu mencatat masa 1 minit 15.12 saat, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Atlet Itali Francesco Bocciardo, menampilkan renangan bergaya apabila merangkul emas dengan catatan 1:09.56s, diikuti perenang China, Lichao Wang, dengan merekod masa 1:10.45s dan Daniel de Faria Dias dari Brazil gagal mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016, apabila hanya meraih gangsa dengan 1:10.80s.

Terdahulu, Nur Syaiful meloloskan diri ke peringkat akhir selepas menduduki tangga ketiga dalam saringan pertama dan ketujuh terbaik daripada 13 perenang secara keseluruhan.

Beliau mencatat masa 1:16.33 saat pada saringan tersebut. Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan yang dijalankan pagi tadi, mara ke akhir.

Semalam, Nur Syaiful, yang  mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada 2012, tidak berjaya layak ke peringkat akhir acara 200m gaya bebas lelaki S5, selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal.

Selepas dua aksi disertainya, atlet berusia 26 tahun itu masih berpeluang untuk meraih pingat, apabila dijadual beraksi dalam acara 50m gaya bebas lelaki (S5) dan 100m kuak dada lelaki (SB4) selepas ini, bagi melengkapkan kempen sulungnya pada temasya berprestij di Jepun itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here