Exco kesihatan Kedah positif Covid-19

0
335

Oleh RIZQI ZABIDI

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman didapati positif Covid-19 selepas hadir ke kawasan tragedi kepala air di Gunung Jerai untuk membantu mangsa terlibat, Sabtu lalu.

Katanya, beliau mula mengalami batuk pada Ahad dan demam pada Isnin sebelum disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian saringan semalam.

Menurutnya, isterinya turut disahkan positif namun kedua-dua mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin sekadar mengalami gejala ringan serta berada dalam kategori dua penyakit tersebut.

“Saya tak pastilah sama ada dijangkiti sewaktu menjalankan misi bantuan di Yan atau kawasan lain. Ketika membantu mencuci rumah penduduk, memang ada dalam kalangan petugas yang datang dari kawasan dan negeri lain.

“Tetapi semuanya tampak sihat dan ceria serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Malah kami makan pun secara berasingan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Begitu pun katanya, keadaannya kini bertambah baik dengan tahap oksigen juga berada pada paras antara 96 hingga 97 peratus.

“Selepas ini, saya mungkin saya akan terus kekal menjalani kuarantin di rumah. Namun segalanya bergantung kepada penilaian dibuat Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya.

Tambahnya, beliau amat mengharapkan agar semua pihak yang hadir ke kawasan bencana tersebut menitik beratkan hal berkaitan SOP supaya keselamatan semua pihak terjaga. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here