[VIDEO] Makanan semarakkan semangat merdeka

0
619

ENAM hari lagi, tarikh bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia bakal tiba bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64.

Tarikh keramat yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi ini disemarakkan lagi dengan semangat patriotik seluruh rakyat Malaysia yang ditonjolkan melalui pelbagai gelagat dan cara biarpun sedang menghadapi wabak COVID-19.

Orang ramai sudah mula menghias rumah mereka dengan bendera Jalur Gemilang, malah ada juga yang tampil ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan busana Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat mereka menyambut tarikh keramat itu.

Apa yang lebih menarik, terdapat juga antara mereka yang menggunakan makanan-makanan tradisi tanah air sebagai konsep untuk menyemarakkan semangat merdeka.

Koleksi tudung terkenal, dUCk Scarves tidak pernah melepaskan peluang mereka untuk melancarkan koleksi merdeka setiap tahun apabila mereka sekali lagi tampil dengan konsep segar yang mengetengahkan makanan kesukaan ramai dalam koleksi merdeka terbahru mereka.

Koleksi merdeka terbaharu ini tampil dengan corak abstrak berkonsepkan empat hidangan yang melambangkan tanah air iaitu nasi lemak, mi udang, asam laksa dan cendol yang dihasilkan oleh artis seni grafiti, Kenji Chai dalam satu kolaborasi bagi koleksi The Merdeka dUCk ini.

Koleksi terbaharu The Merdeka dUCk.

Menerusi satu video di InstagramTV akaun @theduckgroup, Kenji Chai berkata, inspirasi tersebut datang daripada landskap perpaduan kaum di negara ini yang menjadikan Malaysia kaya dengan pelbagai juadah yang enak.

“Menjadikan konsep ini sebagai satu koleksi memberikan kelainan serta unik,” katanya.

Majlis Sukan Negara (MSN) juga tidak melepaskan peluang mereka menujukkan semangat Hari Merdeka apabila mereka menghidangkan juadah berkonsepkan kemerdekaan di Kafeteria Atlet MSN.

Menerusi satu entri di akaun Instagram rasmi mereka semalam, dipaparkan gambar roti jala berbentuk hati dengan corak Jalur Gemilang.

Tangkap layar entri Instagram Majlis Sukan Negara (MSN)

“Menu hari ini roti jala perwira, ubi keledek, sambal bilis, kelapa parut dan air sirap merdeka. Selamat menjamu selera,” tulis mereka di kapsyen gambar tersebut.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here