Kesilapan Teknikal Jejaskan Aksi Sulung Nur Syaiful Di Paralimpik Tokyo

0
272

PERENANG para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli terpaksa akur apabila terlepas peluang untuk ke peringkat akhir renang 200 (m) lelaki gaya bebas S5 (kecacatan fizikal) di Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 susulan kesilapan teknikal dalam saringan pertama itu.

Lebih menyedihkan apabila Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah mengesahkan bahawa kesilapan teknikal dilakukan atlet Sarawak yang membuat kemunculan pertama di temasya berprestij itu menyebabkan pembatalan kepada penyertaannya.

“Apa yang dilakukan Nur Syaiful tadi tidak dibenarkan sama sekali dalam acara berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, perenang Sepanyol Antoni Ponce Betran mengungguli saingan di tempat pertama dengan catatan 2 minit 33.73 saat (s), diikuti perenang Brazil Daniel de Faria Dias di tempat kedua dengan catatan 2:45.16s.

Manakala Dmitrii Cherniaev dari Jawatankuasa Olimpik Rusia yang merekodkan masa 2:48.18s untuk mengakhiri saingan di tempat ketiga.

Lapan perenang terbaik daripada dua saringan dipertandingkan akan layak ke peringkat akhir, yang dijadual berlangsung kira-kira 7.52 petang ini (6.52 petang waktu Malaysia).

Bagaimanapun, Nur Syaiful masih berpeluang untuk menebus kekecewaannya apabila masih mempunyai tiga lagi baki saingan selepas ini.

Perenang berusia 26 tahun yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun itu akan turun bersaing dalam acara 50m gaya bebas S5, 100m gaya bebas S5 dan 100m kuak dada bagi kategori SB4 (kecacatan fizikal).

Selain Nur Syaiful, Malaysia turut diwakili dua lagi perenang iaitu Jamery Siga bagi kategori S5 serta Brenda Anellia Larry yang bersaing untuk kategori S4 (kecacatan fizikal).

Sukan Paralimpik Tokyo yang membuka tirai secara rasmi malam tadi akan berakhir pada 5 September.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here