Reset Malaysia saran Agong segera tubuh MPN

Turut saran lantik Tun Mahathir ketuai MPN

0
242

GERAKAN Reset Malaysia menyarankan Yang di-Pertuan Agong agar segera menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan dihadapi negara ketika ini.

Selain itu, Pengarah gerakan yang dianggotai 114 NGO berkenaan, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin, turut mengesyorkan agar bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi majlis tersebut

Menurut Dr. Abu Hafiz, penubuhan segera MPN yang diilhamkan Mahathir tersebut penting untuk kestabilan dan merawat negara yang berdepan dua kali peralihan kuasa sejak pilihan raya umum ke-14.

“Jawatankuasa ini perlu dipimpin seorang negarawan yang berpengalaman luas dalam menghadapi pelbagai krisis, dan pada masa sama bebas daripada campur tangan terlalu meluas serta negatif orang politik,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum berhubung saranan itu kepada Istana Negara.

Dr. Abu Hafiz berkata, negara perlu memfokuskan empat bidang utama, iaitu kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sosial, berbanding penubuhan keseluruhan pentadbiran negara ketika ini.

“Kami berharap cadangan kami ini dipertimbang, disokong dan diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan sekiranya diluluskan, peruntukan segera perlu diberikan bagi menjalankan fungsinya.

“Kami melihat penubuhan MPN adalah mekanisme terbaik bagi menangani krisis semasa,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mencadangkan MPN diletakkan di bawah bidang kuasa Agong bagi memastikan ia bebas daripada sebarang unsur politik dan pemulihan negara berjalan lancar. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here