Dua beradik maut angkara motosikal yang dibawa terlanggar tembok

0
324

DUA adik-beradik lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok batu di Jalan Air Tanai, Ayer Pa’abas, Melaka malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supretendan Arshad Abu berkata kemalangan pada kira-kira 9.15 malam itu menyebabkan Zahrul Fitri Amer, 15, dan adiknya, Afiq Wafiy Amer, 4, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya yang tinggal di Taman Kebaya, Kampung Paya Datok di sini keluar menaiki motosikal Yamaha Lagenda milik bapa mereka untuk ke kedai berhampiran.

“Bapa mangsa memaklumkan polis bahawa kedua-dua anaknya itu tidak memakai topi keledar.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi Zahrul Fitri dari arah Alor Gajah menghala ke Ayer Pa’abas itu terbabas ketika tiba di tempat kejadian lalu melanggar tembok batu di sebelah kiri jalan terbabit.

Arshad berkata mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kemalangan berkenaan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here