Lee Chong Wei perlu tampil lapor rasuah

0
297

BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sepatutnya tampil melaporkan cubaan merasuah dirinya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seksyen 25(1) dan (2) Akta SPRM 2009, memperuntukkan kegagalan melaporkan cubaan rasuah adalah satu kesalahan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih dari RM 100,000 jika sabit kesalahan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Seksyen 17 (1), Akta Pencegahan Rasuah 1997 juga memperuntukkan kesalahan dan hukuman yang sama kepada kes yang berlaku sebelum tahun 2009 justeru SPRM mesti menyiasat dakwaan ini.

Katanya, masalah rasuah dalam bidang sukan sudah timbul sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan, perkara ini boleh merosakkan masyarakat dan merencatkan industri sukan tanah air sekaligus meruntuhkan negara.

“Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur keputusan perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

“SPRM telah mendefinisikan suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Chong Wei mengenali individu yang cuba menyogok lawannya, Taufik Hidayat di peringkat separuh akhir Sukan Asia Doha 2006.

Seorang pegawai sukan merangkap bekas pemain kebangsaan dipercayai cuba merasuah jaguh Indonesia itu yang muncul juara selepas mengalahkan Lin Dan dalam perlawanan akhir temasya sukan tersebut.

Juara dari Indonesia itu baru-baru ini mendedahkan didekati seorang pegawai dari Malaysia agar menyerah kalah dalam perlawanan berkenaan dengan menawarkan ganjaran dua kali ganda daripada RM60,000 yang dijanjikan negaranya.

Bagaimanapun, Jais berkata, MCW berpendapat bahawa isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal.

Beliau menambah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bertindak segera dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa yang penting untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.

“Pastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan sebarkan semangat bebas rasuah kepada semua ahli sukan.

“Trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia biasanya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah atau pun tidak,”katanya.

Menurut beliau lagi, banyak kes rasuah dalam sukan tidak dilaporkan atas pelbagai sebab.

“Kegagalan melaporkan kes ini tidak boleh dimaafkan kerana implikasinya cukup besar.

“Program kesedaran dan Pendidikan antirasuah kepada atlet dan badan sukan perlu diperbanyakkan. MCW sedia menawarkan diri dan dilibatkan sama dalam program ini,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here