‘Kluster korban’ tidak direkod di Johor sempena Aidiladha

0
266

Oleh RAHIMI MOHAMMAD

KLUSTER Covid-19 melibatkan pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai lalu tidak direkodkan di Johor sekali gus menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 164 pusat sembelihan dibenarkan beroperasi di Johor pada perayaan itu bagi memudahkan aktiviti korban diadakan.

“Walaupun dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19, ibadah korban tetap dapat dilaksanakan dengan sejumlah 6,037 ekor lembu telah disembelih.

“Pelaksanaan ibadah korban tahun ini meliputi proses sembelihan, melapah, memotong daging dan membungkus sebelum diedarkan terus kepada mereka yang telah ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Najib Lep (Pas-Bukit Pasir) berhubung SOP ibadah korban dan kesan penguatkuasaan SOP itu.

Malah, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, pihaknya juga telah melawat beberapa pusat sembelihan di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan dibuat mengikut SOP ditetapkan.

“Pelaksanaan ibadah korban tahun ini dibuat dalam keadaan terkawal kerana keutamaan kita bukan sekadar keuntungan semata-mata tetapi ia meliputi nyawa manusia yang tidak boleh dipertaruhkan.

“Adalah disyorkan supaya penternak dalam tempoh wabak ini tidak hanya menumpu jualan semasa ibadah korban sahaja, tetapi perlu kreatif melihat kepada pasaran tempatan yang keperluannya masih tinggi, bahkan terpaksa ditampung oleh daging import,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here