Jangan banyak berpolitik, rebut kuasa: Sultan Selangor

0
248

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor supaya tidak terlalu banyak berpolitik dan berebut kuasa serta kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kesal melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.

“Tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka, rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya.

“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar daripada sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di Dewan Negeri Selangor.

Baginda juga bertitah, ADUN sudah pastinya menyedari betapa rakyat ketika ini berada dalam keadaan susah dan menderita di kala negara sedang berhadapan wabak Covid-19 dan sepatutnya lebih prihatin masalah rakyat di kawasan masing-masing khususnya dalam mengenal pasti bantuan yang perlu disalur kepada mereka yang terjejas.

Sultan Sharafuddin juga mahu wakil rakyat sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan itu, selain mendapatkan data individu yang kehilangan ibu bapa, tempat pergantungan dan berhadapan masalah tekanan hidup.

Baginda turut mengingatkan ADUN bahawa mandat yang diberi oleh rakyat adalah amanah daripada Allah yang perlu dilaksana dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here