330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui di Pulau Karah

0
231

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SEBANYAK 330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu yang ditinggalkan di kawasan pantai Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli memberitahu, kesemua rokok melibatkan sebanyak 1,650 karton dikesan sewaktu pihaknya melakukan pemantauan di kawasan tersebut pada pukul 6 petang.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan, sepasukan anggota bot Panggalan 45 dikerahkan ke lokasi di pulau berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dibuat, kami menemukan beberapa bungkusan plastik lut sinar berisi rokok putih dipercayai ditinggalkan kerana tidak sempat dipindahkan ke bot lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu hari ini.

Malah, Muhammad Suffi percaya Pulau Karah dijadikan sebagai lokasi transit penyeludupan rokok sebelum dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan.

Ini kerana katanya, pulau tersebut tidak berpenghuni dan tiada penempatan
penduduk.

Menurut beliau, kes melibatkan aktiviti penyeludupan rokok menggunakan jalan air merupakan pertama kali direkodkan Maritim Terengganu.

“Suspek dipercayai melakukan aktiviti berkenaan dengan menggunakan jalan laut kerana sukar menggunakan jalan darat berikutan penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) yang terlalu ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan penyeludupan rokok tersebut didalangi warga tempatan dan rokok itu dikilangkan di Vietnam,” jelasnya.

Muhammad Suffi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Maritim Terengganu akan terus meningkatkan kawalan bagi mengesan sebarang aktiviti salah laku di perairan negara,” tambah beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here