Muhyiddin doakan kejayaan Ismail Sabri kemudi negara ke mercu kejayaan

0
230

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan penggantinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menggalas amanah kepemimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan.

Muhyiddin berkata, beliau memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan dan akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkhidmat kepada rakyat.


“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya Allah akan terus membantu kerajaan PN menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,” kata beliau melalui laman Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU turut memaklumkan, menerima kunjungan Ismail Sabri di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, dan turut berkongsi gambar kunjungan berkenaan.

Hari ini, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Naib Presiden UMNO itu yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat, sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here