Moga ada sinar bakal menjelma – Dafi

Yakin Papa mampu galas tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri

0
266

PENYANYI dan pelakon, Dafi berharap bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik Perdana Menteri kesembilan, menunaikan mandat sebaik mungkin dengan penuh rasa tanggungjawab demi rakyat.

Apabila diumumkan sebagai perdana menteri petang semalam, Dafi mengaku belum sempat menghubungi bapanya yang dipanggil ‘papa’ untuk mengucapkan tahniah kerana enggan mengganggu walaupun sentiasa menyokong karier insan tersayang itu.

“Sejak beberapa hari lalu, ketika khabar angin bertebaran mengatakan papa menjadi antara yang disebut-sebut bakal menyandang jawatan Perdana Menteri, saya tidak terlalu mengikutinya.

“Secara jujur, saya tidak terlalu memikirkannya. Apabila disahkan pelantikan papa sebagai Perdana Menteri, saya terdiam seketika.

“Namun, tidak bererti saya tidak tumpang bangga dengan apa yang diamanahkan kepadanya. Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah terfikir papa jadi Perdana Menteri.

“Saya tahu papa sibuk sekarang, jadi, saya biarkan papa bertenang. Nanti papa balik, saya ucapkan tahniah kepadanya,” katanya memetik laporan BH Online.

Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas menerima sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat. Ismail Sabri dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara pada 2.30 petang ini.

Dafi atau nama sebenar Gadaffi, berharap papa tidak mempersiakan amanah diberi, apatah lagi ketika rakyat berdepan penularan pandemik COVID-19.

“Sebagai anak, pemerhati dari jauh dan rakyat Malaysia, saya harap amanah itu tidak dipersiakan.

“Saya yakin semua orang mengharapkan perubahan dan peningkatan selepas ini terutama ketika bergelut pandemik COVID-19.

“Untuk papa berada di atas tampuk kepimpinan itu bukanlah suatu perkara mudah. Semoga segala-galanya akan berbalik dengan kemanisan untuk kita semua… Insya-Allah,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, rakyat berdepan dugaan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Dunia seni juga tidak terkecuali menerima impak itu. Saya harap tidak kira sektor apa sekalipun, semoga ada perubahan yang bakal kita lihat. Semoga ada sinar yang bakal menjelma,” katanya.

Dafi berkata, sejak dahulu lagi, dia tidak pernah mahu mengambil kesempatan daripada kedudukan papa dalam kerajaan atau politik.

Dafi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu, membintangi filem komedi seram, Ada Hantu arahan Hairul Azreen yang ditayangkan di platform digital, Disney+ Hotstar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here