Ismail Sabri hadiri perjumpaan tertutup

Tiada perbincangan soal pembentukan kabinet

0
257

BEBERAPA jam selepas pengumuman pelantikannya sebagai Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Umno di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Antara pemimpin yang dilihat hadir ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said. Ketika ditemui media, Naib Presiden Umno itu berkata, tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan.

“Sebarang kenyataan media akan dikeluarkan esok (hari ini),” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan berlangsung di Istana Negara pada 2.30 petang hari ini. –

Sementara itu, Dr Ismail menjelaskan, pertemuan berkenaan sekadar perjumpaan sesama pemimpin parti dan mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Umno itu atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

“Tidak menyentuh mengenai pembentukan kabinet, tiada satu perkataan pun mengenai kabinet,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here