[VIDEO] ‘Saya rasa lega’. Jawatan itu keduniaan, keredaan Tuhan lebih penting – Muhyiddin

Dalam mesej perpisahan itu juga Muhyiddin turut berkongsi perbualan peribadi bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selepas mereka berdua solat subuh.

0
410

Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehidupan adalah sebuah perjalanan dengan matlamat utamanya adalah keredaan Tuhan.

Sehubungan itu beliau tidak berasa apa-apa pun apabila kehilangan jawatan Perdana Menteri kerana jawatan tersebut hanya bersifat keduniaan.

Muhyiddin menambah, beliau sentiasa percaya seseorang itu perlu melakukan perkara yang betul.

“Pertimbangan kita ini bukan duniawi, sebab itu bagi saya, hilang jawatan perdana menteri, itu duniawi. Saya tak boleh bawa ke mana pun,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

Amanat itu disampaikan sejurus sebelum Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembahkan surat peletakkan jawatan sebagai PM ke-8

Dalam mesej perpisahan itu juga Muhyiddin turut berkongsi perbualan peribadi bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selepas mereka berdua solat subuh.

“Pagi tadi lepas berjemaah Subuh bersama isteri saya, duduk – biasa begitulah, lepas subuh, duduk sekejap sekitar lima hingga 10 minit berbual. Dia bertanya, apa yang awak rasa? Saya beritahu saya rasa lega sebab beban di bahu saya sebagai perdana menteri sudah tidak ada lagi lepas hari ini.

Video Amanat Perpisahan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata beliau sentiasa percaya seseorang itu perlu melakukan perkara yang betul dan asas itu juga digunakan dalam menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikannya.

Ismail dijadualkan akan mengangkut sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.

Muhyiddin berkata, meskipun tempoh sebagai Perdana Negeri sangat singkat, namun beliau berbangga kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik.

Beliau tidak menolak kemungkinan satu hari nanti akan ada para sejarawan menulis menyatakan tentang beliau dalam sejarah negara dalam bahagian kecil tulisan sahaja mengenai penggal pendek pentadbiran yang diketuainya.

“Mungkin ada nota kaki yang menulis tentang saya, satu waktu ada seorang perdana menteri namanya Muhyiddin Yassin atau Mahiaddin Yassin yang menjadi perdana menteri ke-8.

“Mungkin ada bab pendek kerana saya tak lama (pegang jawatan). Namun saya fikir saya harus berbangga kerana kita sudah cuba,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin meletakkan jawatan Perdana Menteri minggu ini selepas lebih 10 ahli Parlimen yang diketuai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan sokongan terhadapnya.

Lelaki berusia 74 tahun ini pernah dipecat daripada Kabinet oleh Najib pada 2015 kerana mempersoalkan penglibatan bekas Presiden UMNO itu dalam skandal 1MDB.

Selepas beberapa lama keluar dari UMNO, beliau menubuhkan Bersatu dan bersama-sama pembangkang dalam Pilihan Raya Umum 2018 dan kembali memegang jawatan dalam Kabinet yang diketuai, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, sekiranya kerusi di pejabatnya boleh bercakap, ia akan beritahu bagaimana pertemuannya bersama Najib sejurus sebelum beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015.

“Selepas tak sampai setengah jam, dia tendang saya keluar. Balik pejabat TPM, panggil semua, tak lama saya duduk. Saya cakap, Sorry, we have to pack up. Saya baru jumpa Najib. Dia pecat saya,” ujarnya.

Beliau berkata, tidak perlu lama untuk mengemas barangan miliknya untuk dibawa pulang, hanya sebuah buku hadiah temannya.

“Saya tak ada rahsia dalam meja. Surat-surat rahsia, tak ada apa. Kerana kita tahu kita tak buat apa-apa salah,” tambahnya.

Beliau turut menggambarkan kembali ke Pejabat Perdana Menteri tahun lalu adalah sebahagian daripada pusingan hidup.

“Apa yang naik mesti turun. Namun apa yang jatuh, Insya-Allah, akan kembali.”

Mengenang hari-hari sewaktu menjadi penolong pegawai daerah, Muhyiddin berkata, tidak pernah membayangkan yang satu hari nanti akan memegang jawatan yang paling tinggi dalam negara.

“Saya sangat hormat dan percaya dengan pegawai awam.

“Saya di sana sebelum ini untuk tiga tahun, lepas tu saya resign, masuk swasta. Tak fikir pun nak jadi perdana menteri satu hari. Allahu Akbar,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here