PM baharu perlu teruskan agenda pembangunan bumiputera-Dewan Melayu

0
273

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu diharap meneruskan agenda Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu), Abdul Halim Husin berkata, ini kerana pelan pembangunan TPB2030 kini dalam fasa akhir pembangunannya yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini.

“Perdana Menteri yang baharu dan barisan Kabinetnya perlu menyokong TPB2030 terutama dalam mendepani situasi ekonomi pasca imuniti kelompok yang bakal dicapai menjelang akhir Oktober ini.

“Kerajaan sudah tidak punya banyak masa untuk merangka semula agenda Bumiputera yang baharu, membentuk makmal serta menganjurkan kongres ekonomi yang dikitar semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, perkara itu tidak boleh dilengahkan kerana sudah memiliki hasil kajian yang pelbagai serta data yang diperlukan untuk menggerakkan kerja dengan seberapa segera.

“Kita tidak perlu ‘reinvent the wheel’ lagi. Sejak sekian lama, Bumiputera tidak mempunyai pelan tindakan pembangunan ekonomi yang lebih terancang dan berstruktur untuk dijadikan dokumen utama kepada apa juga pembentukan dasar, perancangan ekonomi mahupun belanjawan.

“TPB2030 adalah jawapan kepada permasalahan itu yang akan sentiasa mendahulukan agenda Bumiputera sebagai satu agenda nasional yang wajib dijayakan,” katanya.

Jurang ekonomi serta kekayaan antara kaum masih berada pada tahap yang amat membimbangkan, katanya.

Jelasnya, selagi pegangan ekonomi berteraskan kaum itu terus dibiarkan membarah, maka selagi itulah matlamat untuk membentuk negara bangsa yang progresif, saksama dan makmur sebagaimana yang dicita-citakan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak akan dicapai.

Keunikan TPB2030 katanya, terletak pada matlamat jelas dan boleh diukur, yang antara lain menggariskan tujuh aktiviti ekonomi utama yang mampu dikuasai Bumiputera serta dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tambahnya, sektor strategik dan bernilai tinggi seperti ekonomi digital, halal hub dan perbankan Islam digital harus digembleng selain daripada sektor tradisi yang akan dipermodenkan seperti pertanian pintar dan logistik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here