PDRM minta bantuan Interpol kesan Caprice, Nadir

0
319

GENAP sebulan selepas pendakwah, Ebit Lew membuat laporan polis berkaitan isu fitnah misi kemanusiaan di Palestin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk membantu siasatan.

Kerjasama itu bertujuan membantu mengesan penyanyi rap, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang masih gagal dihubungi bagi membantu siasatan kes.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan, kedua-dua individu itu dikesan untuk memberikan keterangan berhubung laporan yang dibuat Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

“Kita sudah berbual (chat) dengan kedua-dua individu ini, namun tidak dibalas, jadi kita telah minta bantuan Interpol untuk kesan dan berhubung dengan mereka.

“Ini bagi menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk diambil keterangan dalam talian,” katanya.

Katanya, kedua-dua individu berkenaan diminta berhubung dengan polis bagi tujuan siasatan. “Kita minta kedua-dua individu ini beri kerjasama, untuk rakam percakapan, sebab semua proses kita sudah laksanakan cuma rakaman percakapan kedua-dua individu ini masih belum dapat dijalankan.

“Kita minta kedua-dua ini dapat beri maklum balas secepat mungkin,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, Ebit Lew membuat laporan polis mendakwa dirinya telah difitnah dipercayai berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here