Bantuan tunai RM 500 untuk mangsa bencana kepala air

0
281

BANTUAN tunai berjumlah RM500 disalurkan Kerajaan negeri Kedah kepada setiap keluarga terkesan dengan banjir susulan fenomena kepala air di Gunung Jerai, Yan yang berlaku Rabu lepas.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan, bantuan itu adalah bagi membantu kerja-kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan akibat banjir berkenaan.

“Hasil perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) malam tadi, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan bantuan bagi membantu mangsa yang terjejas akibat fenomena kepala air.

“Bagi keluarga yang kehilangan nyawa akibat kejadian itu, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan berjumlah RM5,000 kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.

Beliau menambah, keluarga terjejas boleh membuat urusan pedaftaran bagi menerima bantuan berkenaan di Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.

“Sebagai langkah awal, keluarga terlibat dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan mendaftarkan nama dan maklumat diri dengan Pejabat Daerah masing-masing. Bagi bantuan untuk membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, laporan awal memaklumkan sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

Sehingga 4.30 petang semalam, empat mangsa ditemukan maut, seorang cedera dan dua masih hilang selepas terlibat dalam banjir yang berlaku kira-kira 5 petang Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here