Operasi SAR tiga mangsa hilang bencana kepala air diteruskan

0
273

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan petang semalam, diteruskan pada 8.30 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata tiga mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu merupakan antara 22 penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat bencana itu.

“Kejadian di Titi Hayun ini melibatkan 22 mangsa iaitu 16 mangsa selamat, dua lagi meninggal dunia, seorang cedera parah manakala tiga lagi masih belum dijumpai,” katanya menurut laporan Bernama.

Tambah beliau, seramai 30 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi itu dan pada masa yang sama turut dibantu pasukan keselamatan lain antaranya polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mohamadul Ehsan berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.17 petang semalam mengenai kejadian banjir di kawasan Titi Hayun itu dan operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan sebaik tiba di lokasi 11 minit kemudian.

Beliau turut berkata, pihak bomba juga meneruskan operasi SAR dengan kekuatan 20 anggota bomba selepas seorang lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian sama di Salak Denai iaitu kawasan sekitar Batu Hampar, Yan.

Tambahan lagi, menurut beliau seramai 19 kakitangan The Jerai Hill Resort yang terperangkap di puncak Gunung Jerai masih tidak dapat dibawa turun berikutan laluan terhalang akibat tanah runtuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here