Penyu ‘Agar’ bertelur di Pantai Batu Burok

0
427

Oleh Mohd. Lazim Endut

PANTAI Batu Burok yang agak sepi sejak kebelakangan ini berikutan larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiba-tiba dikejutkan dengan pendaratan seekor penyu jenis ‘Agar’.

Kelibat spesis penyu yang dikesan mendarat untuk bertelur berhampiran sebuah hotel di pantai berkenaan antara pukul 7 petang hingga 8.50 malam tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, penyu yang dianggarkan berusia antara 15 hingga 18 tahun itu mengeluarkan telur sebanyak 49 biji.

“Berdasarkan saiz ditinggalkan dan jumlah telur dihasilkan, kita percaya penyu tersebut dikategorikan masih muda.

“Sementara daripada segi berat dan saiz pula, kita tidak dapat pastikan kerana penyu berkenaan telah turun ke laut sewaktu pegawai kita tiba ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ruzaidi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu haiwan tersebut sepanjang ia berada di darat termasuk ketika turun ke laut.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, ada pihak yang cuba ganggu penyu tersebut ketika ia naik ke darat.

“Perbuatan itu adalah satu kesalahan dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 1987) dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, telur penyu berkenaan telah dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli memberitahu, penyu Agar mendarat di pantai Pantai Batu Burok merupakan petanda pantai berkenaan sudah sesuai dengan persarangan penyu.

Katanya, keadaan itu juga menunjukkan bahawa haiwan itu bersedia untuk bertelur di sepanjang 225 kilometer jajaran pantai dari Kemaman hingga ke Besut, selain pantai-pantai di pulau yang menjadi lokasi popular penyu.

“Penyu amat sensitif dan sentiasa berhati-hati dalam memilih lokasi persarangan. Aktiviti pembangunan dan lokasi Pantai Batu Burok yang dekat dengan bandar sebelum ini menyebabkan ia tidak begitu popular bagi persarangan penyu.

“Mungkin aktiviti orang awam di pantai itu berkurangan pada masa ini menyebabkan tiada gangguan kepada penyu untuk mendarat,” ujarnya.

Namun, beliau turut meminta orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan pantai bagi memastikan keselamatan dan menerima kunjungan haiwan berkenaan.

“Sekarang bergantung kepada kita untuk memastikan pantai kita ‘mesra penyu’ atau sebaliknya.

“Beberapa perkara perlu diberikan perhatian jika mahu melihat penyu kembali mendarat dan bertelur di pantai-pantai berdekatan rumah kita.

Antaranya kurangkan pencahayaan ke bahagian pantai, kurangkan aktiviti riadah sebelah malam berhampiran pantai dan memperbanyakkan penanaman pokok yang sesuai di kawasan itu,” jelasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here