Polis Selangor tumpas sindiket haram ‘Datuk Ken’

0
296

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SERAMAI 15 individu warga tempatan terlibat sindiket haram didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk Ken’, ditahan menerusi serbuan di sekitar Rawang, Gombak pada 6 Julai dan 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Bahagian

Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman itu turut berjaya menahan suspek utama berusia 40 tahun bersama-sama isterinya, 41, di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan menjalankan kegiatan haram, antaranya aktiviti perjudian dalam talian, bitcoin dan peminjaman wang tanpa lesen secara berperingkat-peringkat sejak 2014.

“Suspek utama itu ditahan susulan penangkapan 13 individu dipercayai pekerjanya menerusi serbuan di empat buah rumah di Bandar Country Homes, Rawang pada 6 Julai lalu.

“Semua 13 suspek berusia 17 tahun hingga 40 tahun itu meraih pendapatan antara RM2,500 dan RM8,000, mengikut peranan dan jawatan masing-masing. Mereka sudah dituduh pada 9 Julai mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di Mahkamah Selayang.

“Berdasarkan keterangan dan maklumat risikan, JSJ IPK Selangor dan Unit AMLA Bukit Aman kemudian melakukan penangkapan ketua sindiket dan isterinya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Hasil siasatan katanya, mendapati ketua sindiket itu mempunyai kaitan dengan 24 buah syarikat lain bagi mencuci wang hasil haram itu.

Katanya, menerusi serbuan itu, polis turut merampas 14 kereta mewah, termasuk Lamborghini Huracan, BMW 8i, Nissan GTR dan Porsche Cayman serta 14 buah banglo yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

“Kita turut menyita tiga buah unit rumah kedai, wang tunai, termasuk mata wang asing serta pembekuan 71 akaun bank dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah hampir RM33 juta.

“Semakan mendapati ketua sindiket dan isterinya tiada mempunyai sebarang rekod lama,” katanya.

Beliau menegaskan, sindiket berkenaan tiada kaitan dengan jenayah dilakukan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here