[VIDEO] Ketentuan Allah, junjung prinsip demi rakyat, hindari salah guna kuasa

0
386

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan peletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai ketentuan Allah, selain menjunjung prinsip perjuangan politik demi rakyat dan tidak tunduk kepada penyalahgunaan kuasa.

Muhyiddin dalam perutusan khas berkata, sesungguhnya jawatan yang dipikul bukanlah suatu kemegahan, tetapi ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, rayuan ikhlas daripada jutaan rakyat Malaysia agar dia meneruskan tugas dan tidak meletakkan jawatan, tidak dapat diikuti kerana telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Oleh itu, pada hari ini beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh,” ujarnya.

Beliau menambah, tindakan hari ini adalah selaras dengan sumpah jawatan untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

“Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

“Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam perutusan khas itu juga Muhyiddin turut memohon maaf atas segala kekhilafan dan kelemahan sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini. Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, tempoh dua bulan amat penting kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok.

“Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut,” katanya.

HABIS/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here