Hishammuddin akan terus ‘bekerja’ demi rakyat

0
246

BEKAS Menteri Kanan Luar Negara, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji akan terus berbakti kepada rakyat dalam apa juga kapastinya selepas meletak jawatan, hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong ini menegaskan, beliau akan terus berjuang walaupun tidak lagi berada dalam senarai kabinet dan keutamaannya adalah tetap berkhidmat demi kebaikan rakyat dan negara.

“Pada saya, tiada noktah dalam perjuangan. Saya akan terus berbakti dalam apa juga kapasiti yang saya boleh. Bagi saya perkara yang paling penting adalah apa yang boleh disumbangkan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu video yang dikongsi di media sosial rasminya, hari ini.

Beliau berada dalam senarai kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula Mac 2020 dan hari ini, semua menteri kabinet mengumumkan perletakan jawatan berikutan kemelut politik dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga PM baharu dilantik.

Mengulas lanjut, Hishammuddin mengakui, tugasnya selaku Menteri Kanan Luar Negara bukanlah sesuatu yang mudah kerana sepanjang tempoh berkhidmat, seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19.

Namun, kata Hishammuddin, di sebalik cabaran itu, ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here