Status MotoGP Malaysia diumum hujung bulan

0
268

STATUS penganjuran perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2021 yang dijadual di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 22 hingga 24 Oktober depan, akan diumumkan akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya mengambil maklum situasi terkini pandemik COVID-19 dan masih mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk mencapai kata putus mengenai status penganjuran perlumbaan itu.

Katanya sebelum ini SIC sudah membentangkan kepada KKM dan MKN cadangan prosedur operasi standard (SOP), yang akan diambil sekiranya dapat meneruskan perlumbaan tersebut.

Beliau berkata, SIC juga akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama Dorna Sports selaku pemegang hak ekslusif komersial dan hak siaran MotoGP, bagi memberikan keputusan muktamad mengenai penganjuran MotoGP Malaysia 2021.

“Kita memang mahu penganjuran diteruskan tetapi disebabkan kekangan situasi semasa, KKM letak syarat agak ketat untuk membendung kes COVID-19 supaya tidak meningkat, jadi mereka (Dorna Sports) perlu ikuti apa ditetapkan KKM,” katanya pada sidang maya secara maya, hari ini.

Pada Julai lepas, MotoGP Malaysia 2021 yang dijadual pada 29-31 Oktober depan, diubah seminggu lebih awal berikutan pembatalan GP Australia untuk musim kedua berturut-turut.

MotoGP Australia di Litar Phillip Island itu sepatutnya berlangsung dari 22-24 Oktober, tetapi dibatalkan susulan sekatan perjalanan masuk ke negara berkenaan dan masalah logistik akibat pandemik COVID-19.

Penganjuran MotoGP Malaysia 2020 yang dijadual berlangsung 30 Okt hingga 1 Nov tahun lepas juga dibatalkan ekoran pandemik COVID-19. BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here