Ibu, anak tidur tepi jalan kerana pandemik

0
317

SEORANG ibu terpaksa membawa dua anak kecilnya tidur di tepi pantai selepas mereka dihalau daripada kediaman sewanya akibat tidak mampu untuk membayar tunggakan sewa rumah selepas hilang pekerjaan sejak beberapa bulan lalu akibat pandemik COVID-19.

Harvinderjit Kaur Bachan Singh, 31, yang mendakwa telah diarahkan keluar daripada rumah sewa sebelum membawa dua anaknya ke kawasan pantai di Batu 12 untuk tidur buat sementara waktu.

Sebelum ini wanita tersebut tinggal bersama dua anaknya di sebuah pangsapuri sewa tetapi dihalau akibat gagal membayar sewa rumah, manakala suaminya dipenjarakan akibat pelbagai aktiviti jenayah.

“Saya hilang punca pendapatan selepas tidak lagi bekerja sebagai buruh kasar akibat pandemik COVID-19 sejak beberapa bulan lalu menyebabkan saya gagal membayar sewa bulanan rumah sekitar RM400 sebulan.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa membawa dua anak tidur berhampiran Balai Nelayan, Teluk Pelandok buat sementara waktu sebelum mencari rumah yang lain,” katanya.

Harvinderjit Kaur Bachan Singh turut menyatakan bahawa dia tidak pasti berapa lama mampu bertahan kerana sudah lama dia tidak bekerja dan tiada pendapatan namun memikirkan anak-anak yang masih kecil, dia perlu menguatkan semangat demi mereka.

Wanita tersebut turut menceritakan pengalaman beliau terputus hubungan dengan keluarga sejak berhijrah dari Perak kerana berkahwin tanpa restu.

Wanita itu ditemui selepas menerima sumbangan barang makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Harvinderjit Kaur mendakwa menemui beberapa rumah untuk disewa tetapi dalam situasi sekarang, dia tidak mampu menyediakan wang pendahuluan.

“Sudah tiga malam kami tiga beranak tidur di satu pondok di pantai kepunyaan kawan untuk sementara waktu ini.

“Saya tak pasti macam mana nak dapatkan duit pendahuluan sewa rumah kerana tidak bekerja sejak beberapa bulan lalu malah kalau ada pun hanya untuk makan kami tiga beranak,” katanya.

Walau bagaimanapun, masih ada insan yang bermurah hati seperti bekas jirannya yang dikenali sebagai Udin bersimpati dengan nasib wanita itu yang tiada tempat berteduh sejak dihalau daripada rumah sewanya.

“Saya membenarkan dia bersama dua anaknya tidur di pondok saya di tepi pantai sementara dapat mencari sebuah rumah sewa, namun dia langsung tiada wang tunai sebagai pendahuluan sewa rumah.” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here