[VIDEO] 11 jenis aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi esok

0
571

11 jenis aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi esok

KERAJAAN bersetuju untuk memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran membabitkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara, termasuk negeri-negeri Fasa 1, berkuatkuasa mulai esok.

Namun, negeri-negeri yang tersenarai mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa, dan individu yang ingin memanfaatkan kemudahan itu juga telah menerima vaksinasi lengkap.

11 jenis aktiviti ekonomi yang akan diberikan kemudahan itu adalah:


1.Kedai cuci kereta
2.Kedai elektrik dan elektronik
3.Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
4.Kedai perabot
5.Kedai peralatan sukan
6.Kedai aksesori kereta
7.Pusat pengedaran dan jualan kereta
8.Pasar pagi dan pasar tani

9. Kedai pakaian fesyen dan aksesori
10.Kedai barang kemas
11.Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu akan diberikan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki kedai mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” katanya di dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta berbincang dengan semua pemegang taruh dalam sektor berkepentingan.

“Kerajaan faham, banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini, termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan berharap keputusan itu akan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental, serta dapat membantu memulihkan situasi terutama kumpulan yang terlibat dalam sektor ekonomi secara berperingkat.

Bagi negeri yang berada di dalam Fasa 2, kerajaan juga bersetuju membenarkan 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk kembali beroperasi, bermula esok.

Kesemua 11 aktiviti ekonomi ini adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan operasi semula di dalam Fasa 1

1.Kedai Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi
2.Kedai barangan terpakai
3.Kedai bunga dan nurseri
4.Kedai kraftangan dan cenderahati
5.Kedai antik
6.Kedai alat permainan
7.Kedai permaidani
8.Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif
9.Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain)

10.Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;

11.Kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik)

Perdana Menteri turut memberi amaran, setiap kementerian dan agensi yang terbabit, termasuk pemilik premis mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan itu, bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan yang diberikan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here