Polis Kedah buka siasatan isu penularan penjualan sijil vaksin digital palsu

0
398

Oleh Rizqi Zabidi

Polis Kedah membuka kertas siasatan berhubung laporan diterimanya mengenai penularan penjualan sijil vaksin digital palsu seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Aka 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Katanya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Kedah ada menerima laporan mengenai penularan isu penjualan sijil vaksin digital palsu kira-kira pukul 9.44 malam, semalam.

“Namun setakat ini tiada laporan diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil tersebut.

Justeru pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut,” katanya.

Tambahnya orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kes tersebut diminta tampil menyalurkannya kepada Polis Kedah di talian 04-7741275, Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-10318409.

Sebelum ini Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Noor memaklumkan, sijil digital tersebut dijual pada harga hanya RM15 dan memaparkan maklumat penerimanya.

Antara maklumat tersebut termasuklah gambar pemilik serta tarikh dan lokasi dos vaksin diberikan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu kata Mohd. Rushdan dikhuatiri menimbulkan kesukaran kepada pihak berkuasa untuk melakukan semakan terperinci. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here