[VIDEO] Perlu realistik, pilih jalan kerosakan minimum – Nasrudin Mohammed

0
356

LANGKAH mengadakan undi percaya pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada September ini hanya bersifat sementara, tetapi mampu meredakan tekanan serta suhu politik negara yang melonjak kepanasan. 

Penganalisis politik yakin, langkah terbaik menyelesaikan kemelut adalah melalui Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi ketika ini, itu bukannya pilihan sesuai memandangkan kerajaan sedang berusaha menangani pandemik Covid-19 melalui pelbagai pelan pemulihan. 

Pensyarah Fakulti Sains Petadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Prof Datuk Dr Nasrudin Mohamed menegaskan, langkah sementara (undi percaya) itu cuma mampu meredakan api yang kepanasan. 

Secara logiknya, penganalisis politik ini berkata, bagi meraih penyelesaian jangka panjang, jalan yang terbaik adalah mengadakan PRU, tetapi, langkah itu dianggap sebagai pilihan tidak sesuai pada ketika ini.

“Saya berpandangan bahawa undi percaya yang diadakan pada September nanti sememangnya merupakan langkah sementara, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh memberi ruang suhu politik kembali reda. 

“Bagaimanapun, dalam jangka waktu lebih panjang, saya fikir dengan mempertimbangkan sistem pemerintahan negara yang mengamalkan pilihan raya sebagai jalan utama untuk menentukan kerajaan, maka itulah pilihan terbaik.

“Tapi malangnya kita tidak dapat untuk mempertimbangkan pilihan raya sebagai pilihan utama pada waktu sekarang, memandangkan kita dihalang pandemik Covid-19. 

“Jadi segala-galanya perlu dibuat dengan ambil kira kesejahteraan menurut pemikiran tersebut,” katanya.

Nasrudin menjangkakan, pilihan raya tidak akan diadakan sehingga akhir tahun ini kerana kerajaan tidak akan sesekali mengambil risiko mempertaruhkan soal keselamatan rakyat semata-mata mahu mengadakan PRU. 

“Pilihanraya boleh dibuat pada bulan November, bagaimanapun kita harus bersikap realistik dalam akhir ini, kerana pertimbangan utama tentulah dengan memikirkan kesejahteraan kita secara keseluruhannya.

“Ini termasuklah isu-isu berkaitan vaksinasi, dengan kemungkinan tempoh vaksinasi perlu dipanjangkan kerana perlu tambah dos dan sebagainya. Saya rasa kerajaan tidak akan mengambil langkah tersebut,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here