Rayuan cukai: Permohonan Najib rujuk isu perlembagaan ditolak

0
395

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin, untuk merujuk isu perlembagaan melibatkan Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan untuk meneruskan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri (Najib) dan anaknya berhubung saman yang dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan tunggakan cukai pendapatan terhadap mereka.

“Kami tidak menyebelahi anda dalam permohonan ini, untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu perlembagaan melibatkan Seksyen 106 (3),” kata Hakim Abdul Karim kepada Muhammad Shafee.

Hakim Mahkamah Rayuan (Hakim Abdul Karim) berkata mahkamah lebih memihak untuk meneruskan rayuan tersebut yang turut merangkumi isu perlembagaan dan perkara lain.

Hakim Abdul Karim bersidang bersama Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Datuk Supang Lian kemudiannya menetapkan 9 Sept untuk mendengar rayuan itu.

Muhammad Shafee memohon untuk penangguhan perintah Mahkamah Tinggi sementara menunggu perbicaraan rayuan tetapi Hakim Abdul Karim berkata mahkamah tidak dapat memberikan penangguhan itu.

Pada prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian, Muhammad Shafee meminta Mahkamah Rayuan merujuk lima persoalan undang-undang termasuk kesahihan Seksyen 106 (3) kerana beliau berkata ia adalah isu penting.

Muhammad Shafee berkata beliau akan memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk korum hakim seramai lima atau tujuh orang, memutuskan mengenai isu perlembagaan termasuk persoalan sama ada Seksyen 106 (3) adalah tidak berperlembagaan dan ultra vires kerana ia telah merampas kuasa kehakiman mahkamah yang dijamin oleh Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Hasil Dr Hazlina Husain tidak bersetuju, mengatakan tiada kekaburan mengenai tafsiran Sekyen 106 (3) sambil menambah bahawa tiada apa-apa yang tidak berperlembagaan dalam seksyen itu. 

Seksyen 106 (3) menyatakan mana-mana prosiding di bawah seksyen itu, mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang ingin didapatkan kerajaan antaranya sebagai berlebihan, dinilai secara tidak tepat, di bawah rayuan atau dinaikkan secara tidak tepat.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan dua Mahkamah Tinggi berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta (Nazifuddin).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here