Gabungan 135 NGO sokong kekalkan kerajaan PN

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) bersama gabungan 135 badan bukan kerajaan (NGO) Islam menyatakan sokongan penuh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mengekalkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pendirian dan solidariti sokongan bersama itu dibuat berasaskan kepercayaan baginda bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin masih mempunyai majoriti untuk terus kekal mengetuai pentadbiran kerajaan PN.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, UMMAH menyeru semua parti politik Melayu Islam bermuafakat dan mengutamakan kepentingan nyawa rakyat berdepan dengan pandemik Covid 19, berbanding kepentingan politik peribadi dan kumpulan.

“Kami kesal dengan segelintir Ahli Parlimen tertentu yang menarik sokongan kepada kerajaan semasa, sedangkan pembentukan kerajaan kini adalah persetujuan bersama oleh Ahli Parlimen Melayu Islam.

“Kami menyeru Ahli Parlimen Parti Melayu Islam kembali bersama kerajaan Perikatan Nasional demi agama, rakyat dan negara,” katanya.

Berdasarkan enam ketetapan yang dipersetujui bersama itu, UMMAH yakin dengan kebijaksanaan Yang Di Pertuan Agong
untuk terus menaungi kerajaan, rakyat serta menstabilkan pemerintahan dan pentadbiran negara.