Korban Covid-19 Kluster Parlimen

0
264

DESAKAN supaya Dewan Rakyat dibuka, bahkan menggalakkan anak-anak muda mengadakan demonstrasi jalanan yang turut disertai Ahli Parlimen pembangkang mula memberikan impak negatif, bahkan ada yang sudah menjadi korban Covid-19.

Selain 85 orang disahkan positif setakat ini daripada kluster Parlimen, seorang pegawai kementerian dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 yang dipercayai dijangkitinya ketika bertugas di Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen, baru-baru ini.

Pegawai itu menghadiri sidang khas yang bermula 26 Julai lepas dan kali terakhir berada di Parlimen pada 29 Julai dan mulai menunjukkan simptom pada 30 Julai, lapor portal MalaysiaNow.

Sumber kementeriannya memaklumkan, selain berada di Parlimen, pegawai itu turut berada di pejabat kementerian di Putrajaya.

“Hari terakhir arwah di Parlimen pada 29 Julai. Pada 30 Julai (arwah) mula ada selesema,” katanya.

Sidang khas Dewan Rakyat dihentikan pada 29 Julai selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan bangunan itu dikuarantin. Ahli-Ahli Parlimen serta kakitangan Parlimen disaring selepas beberapa kes positif Covid-19 dikesan ketika saringan sebelumnya.

Menurut Noor Hisham, keputusan ujian tersebut dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

Pada 6 Ogos lalu, Noor Hisham mengesahkan 85 kes positif Covid-19 berkaitan dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 17 kes dikesan berkaitan persidangan Dewan Rakyat, manakala 56 kes daripadanya dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here