Siti Sarah stabil, kadar oksigen menuju paras ideal

0
274

KEADAAN kesihatan penyanyi Siti Sarah Raisuddin semakin stabil selepas kadar oksigen memulih menghampiri paras ideal.

Perkara tersebut dimaklumkan suaminya yang juga pelawak, Shuib Sepahtu seperti dilaporkan Astro Awani.

Perkembangan positif itu amat menggembirakan Shuib kerana sebelum ini dia mengakui hampir putus asa terhadap keadaan isteri kesayangannya itu.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, setakat pukul 6 petang Sabtu, kadar oksigen Siti Sarah sudah mencecah paras 85 berbanding paling rendah sebanyak 40 pada pukul 11 malam Jumaat sedangkan kadar ideal oksigen bagi manusia ialah melebihi 95 peratus.

“Allah maha baik. Allah bantu saya dan Siti Sarah dengan memberikan rahmatNya, dihadirkan ramai orang berdoa, membaca Yassin dan mengadakan solat hajat tanya henti.

“Berkat kebaikan semua orang pada isteri saya itu, Allah hadirkan keajaiban buat saya. Keajaiban itu berlaku di depan mata saya. Saya amat-amat bersyukur dan menginsafi kebaikan Allah buat saya dan isteri,” kata Shuib.

Beliau berkongsi perkembangan terkini Siti Sarah dalam sesi bacaan Yassin dan doa selamat menerusi aplikasi Zoom semalam yang disertai kenalan pasangan itu.

Siti Sarah dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu lalu kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas dijangkiti COVID-19.

Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun, disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat.

Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.

Kata Shuib, anak bongsu mereka itu masih ditempatkan di HCTM tetapi sudah mula menunjukkan perkembangan yang baik.

“Pada awalnya doktor maklumkan anak kami tidak bernafas dan tidak bergerak tetapi selepas memantaunya … sudah mula menunjukkan perkembangan, sudah mula menendang kaki dan menggenggam tangannya selain sudah membuka mata,” cerita Shuib penuh syukur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here