Selepas cikgu saman, bapa Ain Husniza saman balas RM5 juta

0
450

BARU-BARU ini seorang pelajar yang dikenali sebagai Ain Husniza Saiful Nizam telah menerima satu notis tuntutan fitnah berjumlah RM1 juta daripada seorang guru pendidikan jasmani di sekolahnya di Selangor.

Terbaharu, pelajar perempuan berkenaan bersama bapanya, Saiful Nizam mengambil tindakan untuk menyaman balik guru berkenaan sebanyak RM5 juta kerana menurut Saiful, ia sengaja menimbulkan tekanan emosi dengan menghina maruahnya.

Mereka menolak semua dakwaan dan berkata mereka akan bergantung kepada pembelaan komen adil, perlindungan bersyarat dan semua pembelaan lain dalam Akta Fitnah 1957.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Saiful Nizam mengesahkan tuntutan balas itu dan berkata, anak perempuannya sedang mengalami trauma disebabkan isu berkenaan.

Saiful berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya, SN Nair memfailkan saman sivil atas tindakan sengaja menimbulkan tekanan emosi dan akan menuntut pampasan RM5 juta.

“Kami sudah membalas saman RM1 jutanya yang akan mencabarnya. Sepucuk surat tuntutan rasmi untuk pampasan RM5 juta akan menyusul,” katanya.

Isnin lalu, peguam yang mewakili guru terbabit menghantar notis tuntutan yang dialamatkan kepada Ain, Saiful dan ibunya, Norshaniza Sharifudin.

Perkara ini susulan selepas pelajar itu menjadi tumpuan di media sosial Mei lalu selepas memuat naik video di TikTok yang menceritakan mengenai isu guru pendidikan jasmani yang dikatakan telah menyebut elemen rogol semasa mengajar di dalam kelas.

Ain Husniza turut mendakwa menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar lelaki sekolahnya.

Selasa lalu menerusi Twitter, Ain memaklumkan dirinya menerima surat tuntutan RM1 juta daripada guru itu atas “pernyataan fitnah”.

“Dalam surat ini Ain diberi tujuh hari untuk semua tuntutan ini, antaranya membayar RM1,000,000 dalam ganti rugi. Semua doakan urusan Ain dipermudahkan,” katanya kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here