Kenapa Menteri perlu ada dalam MPM?

0
596

ADA pihak yang mencadangkan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) hanya dianggotai oleh kumpulan professional. Ahli politik tak boleh jadi ahli.

Saya nak jelaskan sedikit bagaimana sistem kerajaan berfungsi.

Ahli politik yang menganggotai MPN adalah atas kapasiti mereka sebagai Menteri. Bukan Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan parti politik.

Kenapa mereka mesti ada di situ? Sebab merekalah yang akan melaksanakan segala keputusan yang akan dibuat oleh MPN.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ingat, kuasa Eksekutif Persekutuan terletak hak pada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan boleh dilaksanakan oleh Baginda Tuanku atau oleh Jemaah Menteri menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Perjalananan pentadbiran harian kerajaan (day to day running of the government) dilaksanakan oleh Jemaah Menteri.

Jadi apabila MPN membuat apa-apa keputusan, keputusan itu hendaklah dilaksanakan oleh Menteri dan kementerian yang bertanggungjawab. Maka wajiblah Menteri yang berkenaan menjadi anggota tetap MPN atau hadir atas jemputan dalam mana-mana mesyuarat MPN apabila perkara yang berkaitan dengan kementeriannya dibincang dalam mesyuarat MPN.

Dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikan oleh PM semalam, ada satu kertas yang dibentangkan oleh Menteri dan dua kertas yang dibentangkan oleh wakil kumpulan professional. Ketiga-tiga kertas ini dibincang dan dibahas oleh semua anggota yang hadir, termasuk oleh kumpulan pakar dan professional.

PM dan Menteri-Menteri banyak mendengar pandangan kumpulan pakar dari pelbagai bidang dalam membuat keputusan dan rumusan. Banyak idea yang disampaikan oleh mereka mengenai usaha menangani pandemik, vaksinasi, bantuan kepada golongan yang terjejas, pembukaan sektor ekonomi, sosial, dll.

Pandangan yang disampaikan ini menjadi sebahagian daripada keputusan untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

Bayangkan jika MPN ini hanya dianggotai oleh kumpulan pakar dan professional sahaja tanpa melibatkan Perdana Menteri dan Menteri?

Siapa yang nak melaksanakan segala pandangan yang disampaikan dan keputusan yang dibuat?

Ya, majlis itu boleh berbincang dan berbahas mengenai macam-macam perkara, tetapi ke mana nak dibawa pandangan-pandangan itu untuk dilaksanakan? Bukankah kepada kerajaan juga akhirnya?

Pada saya, kita perlu jelas bagaimana sistem kerajaan berfungsi.

DATUK DR MARZUKI MOHAMED

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here