Undi percaya perkara biasa, tidak menakutkan – Muhyiddin

0
264

UNDI percaya yang akan diadakan pada Sidang Parlimen September depan adalah satu perkara yang biasa dan tidak menakutkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Muhyiddin, perkara pokok yang harus difikirkan pada ketika ini ialah soal situasi dan keadaan semasa negara.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, persoalan utama yang perlu dijawab ialah adakah negara boleh hadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan pertukaran dan suasana politik yang mungkin menjadi kalut.

“Saya tidak kata saya ramal begitu…yang mungkin boleh jejas ialah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah-langkah saya sebut awal tadi, vaksinasi dan sebagainya.

“Betul, usul undi percaya kepada Perdana Menteri itu biasa dibuat untuk Parlimen tetapi yang harus difikirkan ialah soal situasi dan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pentadbiran Penghulu Mukim Sungai Raya, di Pagoh, Johor hari ini.

Muhyiddin Yassin menegaskan, usul undi percaya kepada Perdana Menteri adalah perkara biasa dan beliau tidak takut atau bimbang untuk menghadapinya semasa sidang Parlimen bulan hadapan bagi membuktikan beliau masih memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Justeru, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan pertimbangan Ahli Parlimen mengenai perkara yang sewajarnya mereka lakukan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan sokongan majoriti Muhyiddin dan sidang Parlimen yang perlu dibuat September nanti.
 
Muhyiddin menjelaskan, keputusan untuk mengemukakan undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen telahpun dipersetujui dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita bincang banyak perkara antaranya isu soal sama ada saya memiliki jumlah bilangan sokongan yang mencukupi.

“Saya yakin sehingga hari ini (ada majoriti) walaupun ada pengumuman-pengumuman dibuat pihak tertentu yang kononnya tak menyokong saya,” jelas beliau.

Tambah beliau ini merupakan masalah politik, maka degan sebab itulah Seri Paduka Baginda pun berkenan untuk usul berkenaan do bawa ke Parlimen untuk diselesaikan.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan dan makanan segar kepada Penghulu Parlimen Pagoh untuk diagihkan kepada masyarakat masing-masing. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here